Bagi yang nak tambah ilmu…Jom kita belajar sikit tentang halusinasi dan delusi yang boleh berlaku pada mereka yanng mempunyai masalah dementia.
Jangan risau, tak semua orang ada masalah dementia macam ni, tapi kalau ada, penting untuk kita faham.
Apa itu Halusinasi?
Halusinasi ni bukan bermakna mesti berkaitan dengan benda mistik atau hantu.
Ramai orang salah faham, sebab kalau orang tua kita tiba-tiba cakap, “Ada perempuan kat hujung bilik tu”, kita pun mula rasa takut, gelisah, dan panik.
Padahal, mereka bukan nampak hantu, tapi otak mereka keliru dan “nampak” benda yang tak wujud. Contoh: mereka mungkin nampak orang yang tak ada, haiwan yang tak wujud, atau bunyi yang tak kedengaran oleh kita.
Tak semestinya mistik, tapi boleh jadi sangat real bagi mereka. Jadi, janganlah terus ingat ada gangguan, dan bawa mereka berubat dengan perubatan tradisional.
Pergilah juga jumpa doktor, okay? Doktor adalah orang yang betul untuk bantu tengok keadaan kesihatan mereka.
Apa itu Delusi?
Delusi ni pula, macam percaya pada sesuatu yang tak betul. Contoh, orang dengan dementia boleh rasa barang mereka hilang atau kena curi, padahal sebenarnya benda tu ada je kat tempat biasa.
Kadang-kadang, mereka percaya benda pelik, seperti mereka kena tipu atau dipermainkan, walaupun kita tahu itu tak benar.
Kenapa ni Boleh Berlaku?
❤️Otak keliru – sebab dementia, otak susah nak tafsir maklumat dengan betul.
❤️Penglihatan dan pendengaran terganggu – mungkin kurang jelas, jadi nampak benda pelik.
❤️Penyakit lain – macam jangkitan, demam, atau masalah lain dalam badan.
❤️Ubat-ubatan – sesetengah ubat boleh buat orang rasa keliru atau ‘hallucinate’.
❤️Persekitaran baru – kalau ada perubahan besar, macam pindah rumah atau hospital, otak boleh jadi lebih keliru. Orang tua yang ada dementia tidak sesuai tukar persekitaran sebenarnya.
Apa Kita Boleh Buat Sebagai Penjaga?
- Jangan lawan pengalaman mereka! Kalau mereka kata nampak benda pelik, jangan terus cakap “tak ada apa-apa”. Sebaliknya, cuba fahami perasaan mereka. Tak perlu debat.
- Buat suasana tenang – Jaga supaya tempat tinggal mereka selesa dan familiar. Elakkan terlalu banyak perubahan yang mendadak.
- Cermin mata dan alat pendengaran – kalau mereka pakai, pastikan cermin mata dan alat pendengaran mereka betul dan selesa. Benda kecik ni kadang-kadang bantu sangat!
- Sokongan emosi – jangan pandang rendah pada apa yang mereka rasa. Kadang-kadang, mereka perlukan seseorang yang tenang dan memahami.
- Catat waktu dan keadaan – Kalau halusinasi atau delusi berlaku, cuba catat masa dan keadaan. Ini boleh bantu doktor faham lebih lanjut.
Kenapa Penting Jumpa Doktor?
Halusinasi dan delusi bukan benda yang boleh kita anggap remeh. Kadang-kadang, ia mungkin tanda ada masalah kesihatan lain, seperti jangkitan, masalah ubat, atau masalah kesihatan fizikal yang perlu ditangani.
Doktor boleh buat pemeriksaan dan beri rawatan yang sesuai untuk bantu kurangkan gejala ni. Kalau kita biarkan tanpa rawatan, ia boleh jadi lebih teruk dan mengganggu kehidupan mereka.
Bahkan, kadang-kadang ia boleh membahayakan nyawa jika dibiarkan terlalu lama. Banyak kes pesakit yang akhirnya dibiarkan tanpa rawatan yang sepatutnya, dan keadaan mereka jadi lebih serius. Jadi, jangan tunggu lama-lama, kena bawa pergi jumpa doktor.
Ingat: Apa yang mereka rasa sangat real bagi mereka, walaupun bagi kita nampak macam pelik.
Jadi, bawa bersabar dan cuba faham. Walaupun kita tak boleh nampak benda yang mereka nampak, kita boleh bantu mereka rasa selamat dan tenang.



















